PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT “REWANG RANGERS” DI KAMPUNG HULU KALONG
Seramai 45 Pelajar Program Separuh Masa dari Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur mengadakan Program “Rewang Rangers” – Kenduri dan Sukan Rakyat, Mendekati Komuniti Luar Bandar di Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam Bharu, Batang Kali, di sini, hari ini.
Berkonsepkan ‘kenduri dan sukan rakyat’, program khidmat masyarakat tersebut turut disertai 80 Ahli Kariah Surau Al Qariah serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Hulu Kalong dan masyarakat setempat. Pengarah program, Mohd Rahmat Mohd Shariff berkata, program khidmat masyarakat yang julung kali diadakan itu memfokuskan kepada 2 aktiviti utama iaitu aktiviti kenduri serta sukan rakyat bersama penduduk setempat.
Katanya, ia bertujuan membantu memberi pendedahan kepada para pelajar untuk menimba pengalaman dan makluman tentang bagaimana komuniti luar bandar mengadakan aktiviti kenduri dan permainan sukan rakyat di Kampung Hulu Kalong, Hulu Yam Bahru, Batang Kali ini. “Program Gotong Royong yang dijalankan ini merangkumi aktiviti (kenduri) dan sukan rakyat bertujuan memupuk semangat kerjasama sama diantara satu sama lain tanpa mengira waktu dan status kehidupan selain acara sukan rakyat bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan permainan tradisional yang pernah dimainkan oleh masyarakat lalu yang kian hilang ditelan zaman” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rahmat, program itu juga adalah projek tahun ketiga mereka bagi memenuhi keperluan kursus kod VKMB2041 iaitu Pembangunan Masyarakat IV. “Ia juga bagi memberi peluang kepada semua pelajar separuh masa yang sudah mempunyai karier dan pekerjaan masing-masing untuk bertemu dan bekerjasama melaksanakan sesuatu program sekaligus meningkatkan jaringan komuniti dan nama baik PACE UUM,” katanya.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh YBhg. Encik Muhammad Nabil Bin Salehat, Penghulu Mukim Hulu Yam. Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Majlis MPHS, Cik Wong Sheau Mei @ Ong Sheau Mei, Penasihat Program, Encik Zulhairi Bin Zakariah dan Pengarah Program Encik Mohd Rahmat Bin Shariff. Dalam ucapan perasmian Penghulu Mukim Hulu Yam, Encik Nabil menyebut, Program Rewang Rangers yang berkonsepkan kenduri dan sukan rakyat ini haruslah diteruskan agar semangat gotong royong kekal terpahat dikalangan penduduk setempat secara amnya.
Sementara itu, Penasihat Program, Encik Zulhairi Bin Zakariah ketika ditemui selepas program menyebut, penganjuran program tersebut merupakan antara usaha PACE UUM dalam mendekati dan menyumbang kepada komuniti setempat. Ia selaras dengan hasrat menjadikan universiti untuk masyarakat yang bukan sahaja memberi tumpuan dalam aspek akademik semata-mata malah memberikan sumbangan kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat. “Walaupun kampus induk UUM terletak di Sintok, Kedah, namun aktiviti kemasyarakatan melibatkan pelajar PACE UUM tetap dilaksanakan melalui kampus- kampus UUM di seluruh negara” katanya.
Pada program tersebut, para pelajar separuh masa UUM yang terlibat turut menyumbangkan sumbangan wang tunai berjumlah RM200.00 kepada 10 keluarga asnaf, manakala sumbangan RM13,000.00 disumbangkan kepada Surau Al-Qariah hasil tajaan beberapa pihak swasta dan orang persendirian.
URUSETIA
PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT
PUSAT PENGAJIAN PROFESIONAL DAN LANJUTAN (PACE)
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) KAMPUS KUALA LUMPUR
30 DISEMBER 2023





