PROGRAM PENGAGIHAN BAKUL MAKANAN BERSAMA DAPUR PASAK
Seramai 16 sukarelawan dari jurusan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam BIFB serta Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) yang terdiri daripada Semester 3, 4 dan 5 merupakan pelajar Pendidikan Jarak Jauh ( PJJ ) Universiti Utara Malaysia telah menyertai misi sukarelawan agihan bakul makanan barang keperluan asas di PPR Desa Rejang pada 25 September 2023 yang lalu. Sukarelawan yang terlibat terdiri daripada 16 pelajar dan 3 orang sukarelawan dari Dapur Pasak . Fokus bantuan agihan bakul makanan ini adalah untuk orang OKU yang tinggal di kawasan perumahan tersebut.
Pelajar UUM telah berkerjasama dengan Dapur Pasak dalam menjayakan program pengagihan bakul makanan ini. Dapur Pasak ialah satu badan kebajikan, yang digerakkan oleh anak muda, dalam membantu rakyatMalaysia di serata negeri yang memerlukan bantuan dari segi makanan mahupun barang keperluan. Bantuan ini telah diketuai oleh Encik Mursal Rasid iaitu Pengarah Program dan juga Pengarah Dapur Pasak En Shakir Mustafa. Kerjasama ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pendedahan bekerja dengan NGO, yang boleh membantu mereka membangunkan perspektif yang lebih terbuka. Di samping itu, penglibatan dengan NGO juga boleh memupuk semangat kemasyarakatan dan kesukarelawanan yang kuat dalam kalangan pelajar, sambil mengekalkan tumpuan kepada akademik.
Penyertaan pelajar PJJ UUM dalam program ini telah dibimbing oleh Dr Zulhairi Zakariah, Pensyarah Pembangunan Masyarakat VKMB III. Saran beliau agar program seumpama ini perlu diteruskan, melibatkan pelajar universiti yang bukan sahaja boleh menyumbang sebagai sukarelawan, malah menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan dan kurang upaya.
Program ini dilaksanakan bagi mendedahkan pelajar kepada dunia kesukarelawanan melalui penjagaan masyarakat yang kurang berkemampuan. Pengarah Program En Mursal Rasid berkata program ini telah membolehkan beliau dan ahli pasukan meningkatkan semangat kerjasama sesama ahli pasukan dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan serta menguji kesukarelawanan sebenar para pelajar apabila menghadapi pelbagai cabaran sepanjang melaksanakan misi bantuan tersebut.





























